















Oleh S. AGILARAJAN
BATU PAHAT: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merancang memperkenalkan program Kejuruteraan Kereta Api di kampus baru di Kluang bermula Julai 2011.
“UTHM bakal menjadi universiti pertama mewujudkan program tersebut di Asia Tenggara,” kata Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin.
"Kami juga telah berbincang dengan Universiti Sheffield Hallam, England untuk mewujudkan program kerjasama bagi membolehkan penuntut menerima dua Ijazah Sarjana iaitu dari UTHM dan Sheffield Hallam”, katanya yang berpendapat program ini dapat melahirkan tenaga tempatan untuk mengisi jawatan jurutera kereta api profesional.
Katanya lagi, penawaran kursus ini juga selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan kereta api antara sistem pengangkutan utama di negara ini.
Menurut Prof Dr Mohd Noh, kepakaran ini juga diperlukan untuk memenuhi keperluan pasaran di Asia Barat.
Prof Dr Mohd Noh menambah, UTHM menyasarkan pengambilan pertama seramai 50 penuntut bagi melahirkan jurutera kereta api seiring potensi besar bidang ini terutamanya dengan kewujudan landasan kereta api elektrik berkembar nanti.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kluang dipilih kerana daerah itu mempunyai landasan kereta api yang beroperasi apatah lagi kedai kopi di stesen kereta api Kluang telah menjadi ikon kepada daerah itu dan ia juga berdekatan dengan kampus induk di Parit Raja.
"Kewujudan program ini juga dilihat seiring dengan ikon daerah itu selain kepentingan utama untuk menjalani pengajian secara praktikal di landasan kereta api setelah perbincangan dijalankan dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)," ujar beliau.
Khamis, November 11, 2010
Fazley Letak Jawatan Kerana Ijazah Palsu
PETALING JAYA: Penyanyi Fazley Yaakob (gambar) membuat keputusan melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Eksekutif, Fazley International Collage (FIC) ekoran pendedahan Perbadanan Penyiaran British (BBC) berhubung kelayakan akademik penyanyi itu.
Fazley menerusi akaun Twitter miliknya berkata, peletakan jawatan itu semata-mata untuk menjaga hubungan baik FIC dengan University of Wales, United Kingdom.
“Betul... saya telah meletakan jawatan demi hubungan baik dengan Wales (University of Wales),” katanya, Rabu.
Dalam Twitter berkenaan Fazley turut menjelaskan dia akan memberi kenyataan berhubung perkara itu dalam waktu terdekat selepas segala perbincangan dilakukan dengan Ahli Lembaga Pengarah FIC dan juga peguamnya.
Peletakan jawatan Fezley itu dibuat apabila University of Wales menggantung kerjasama dengan FIC selepas penyanyi itu dikatakan mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) palsu dalam bidang pentadbiran perniagaan.
Laporan BBC turut menyebut Fazley mendakwa mempunyai kelulusan daripada European Business School tetapi ia sebenarnya adalah palsu.
University of Wales telah menandatangani perjanjian dengan FIC pada tahun 2007 dan terpaksa menggantung hubungan berkenaan sehingga satu siasatan dijalankan.
Fazley dalam kenyataannya kepada akhbar Kosmo, Rabu berkata dia sudah lama tidak menggunakan gelaran Dr selepas mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan tempat dia menerima ijazah berkenaan.
Khamis, November 11
Shamrin Fotograf Meninggal Dunia
Al-Fatihah...

PETALING JAYA: Penyanyi Shamrin (gambar) dari kumpulan Fotograf meninggal dunia petang tadi.
Allahyarham yang popular dengan lagu Di Alam Fana Cinta pada era 90-an dikatakan rebah ketika bermain bola sepak di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Berita kematian itu disahkan oleh rakannya, Johan Aziz yang juga bekas pengurus Kumpulan Slam.
Jenazah dibawa ke Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru untuk bedah siasat.
